Tuesday, September 28, 2010

SEJARAH SEKOLAH

SEKOLAH KEBANGSAAN BATU SEPULUH


SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH


Sekolah ini asalnya sebagai cawangan dari Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram. Jauh dari sekolah pusat ini lebih kurang 2 batu. Bangunan sekolah ini mula di dirikan pada 18hb. Januari,1953 terletak diatas tanah yang luasnya 2 ekar 11 pole sahaja. Bangunan sekolah ini dibina oleh orang kampung ini sendiri secara gotong-royong. Pada mulanya lantai hanya tanah biasa. Rumah guru dibina bersama dengan hanya tiga bilik darjah sahaja.


Guru yang mula-mula menjadi guru pengawas ialah Cikgu Ahmad bin Harun. Guru Besarnya tetap di sekolah pusat, beliau ialah En Md. Nor bin Thambi. Muridnya seramai 80 orang bermula dari darjah 1 hingga darjah 3.


Pada 24 Jun 1953 sekolah telah runtuh akibat dipukul oleh ribut kencang pada malam hari, jam 11.00 malam. Murid-murid dipindahkan ke bilik bacaan kampung ini. Selepas itu orang kampung disini telah membaiki semula bangunan sekolah yang runtuh itu dan akhirnya murid-murid dapat belajar semula pada 13 September 1953.


Pada 7 September 1953 telah diadakan upacara perasmian sekolah ini sebagai cawangan Sekolah Sungai Tiram oleh Penolong Pegawai Daerah Dinding, Lumut.



PERKEMBANGAN DAN KEMAJUAN


Dari masa ke semasa murid sekolah ini telah bertambah. Ini adalah disebabkan oleh penghijrahan orang melayu ke daerah ini dan membuka tanah baru. Pertambahan jumlah murid adalah seramai seramai 84 orang pada tahun 1954. Pada tahun 1955 bertambah lagi menjadi 91 orang murid dan seterusnya pada tahun 1957 menjadi 96 orang.


Pada tahun 1957, sekolah ini telah berpisah dengan Sekolah Sungai Tiram dan sejak dari masa itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Batu Sepuluh Lekir, Sitiawan. Bermula dari 1 Mei 1957. Guru Besar yang pertama ialah En. Zainal Abidin bin Md. Amin.


Oleh kerana jumlah penduduk bertambah ramai, dan jalan raya dari Sitiawan ke kampung ini telah dibina dengan baik maka perubahan sekolah terjejas. Desakan dari pihak ibu bapa telah berlaku beberapa kali untuk mendesak kerajaan supaya mendirikan segera bangunan baru bagi menampung jumlah pelajar untuk belajar di sekolah yang lama itu pada hal kanak-kanak telah bertambah ramai. Nasib baik murid yang ramai itu telah dapat menumpang di Sekolah Agama Rakyat di kampung ini.


Usaha-usaha telah dijalankan bagi mendirikan sekolah ini pada 1 Julai 1964. Pembinaan sekolah barupun bermula dengan terbina sebanyak 4 bilik darjah. Walaupun kerajaan telah mendirikan sebanyak 4 buah bilik darjah, murid-murid sekolah ini masih lagi mengunakan bilik di Sekolah Agama Rakyat di kampung ini.


Pada 3 April 1965 telah diadakan perasmian sekolah ini oleh YB En. Mohd Khair bin Johari Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu. Jumlah murid meningkat seramai 241 orang.


PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN


Oleh kerana jumlah murid semakin meningkat, satu rancangan baru pula terpaksa dijalankan dengan mendesak kerajaan mendirikan bangunan tambahan. Pada bulan Jun 1974 bangunan tambahan telah dibina iaitu sebanyak enam bilik darjah, bilik air untuk lelaki dan perempuan serta pejabat Guru Besar.


Pada tahun 1975 murid sekolah ini bertambah menjadi 363 orang murid dan guru seramai 14 orang. Pada 14 Februari 1976 pembukaan rasmi bangunan tambahan ini dilakukan oleh YB Dr. Mahathir Muhammad Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu. Pada tahun 1970 peningkatan jumlah murid seramai 396 orang. Jumlah murid akan bertambah pada tahun 1980-an berdasarkan faktor petempatan penduduk yang semakin padat.



Dalam tahun 1989 sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi empat bilik darjah berharga RM50,000.00 dibina juga di bawah Projek Gotong-Royong. Di samping itu pada tahun yang sama sebuah Asrama Desa berharga RM50,000.00 juga dibina dibawah projek yang sama. Asrama ini menempatkan 40 orang murid lelaki daripada Tahun Empat ke Tahun Enam yang memenuhi syarat-syarat kemasukan ke Asrama Desa.


Dalam tahun 1991 sebuah lagi bangunan tambahan mengandungi empat bilik darjah dibina. Sekolah juga telah mendapat sebuah Pusat Sumber di bawah tajaan Bank Dunia berharga RM150,000.00 pada tahun 1991.


Pada tahun 1992 sekolah ini mempunyai enam blok bangunan satu tingkat yang terdiri daripada lima blok bangunan bilik darjah dan satu blok bangunan Pusat Sumber.


Pada tahun 2002 satu lagi projek kerajaan iaitu pembinaan Makmal Komputer sekolah telah dibina yang menempatkan 20 unit komputer.

Pada hari ini ada seramai lebih kurang 493 orang murid belajar di sekolah ini dengan 39 orang guru dan 9 orang kakitangan sokongan.

Adalah dijangka bilangan murid sekolah ini akan bertambah lagi pada tahun-tahun akan datang memandangkan kawasan sekitarnya pesat membangun.

No comments:

Post a Comment

PROGRAM AMALAN GURU PENYANYANG 2018

TAJUK : PROGRAM AMALAN GURU PENYANYANG 2018 TARIKH : 10 JANUARI 2018 TEMPAT : SK BATU SEPULUH